Bomba Selamatkan Lelaki Tersangkut Atas Pokok Kelapa

Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang tersangkut di atas pokok kelepas di Kampung Pirasa. – Foto ihsan bomba

KOTA BELUD: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas tersangkut di atas pokok kelapa sebelum diselamatkan anggota bomba di Kampung Pirasan, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Ariffin Luis, 47, dipercayai sedang memetik buah kelapa sebelum tersangkut pada ketinggian 15 meter.

Difahamkan, jeritan mangsa meminta pertolongan didengari penduduk kampung yang kebetulan berada di lokasi kejadian sebelum menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.06 petang sebelum dua jentera bersama sembila anggota dihantar ke lokasi.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati berada dalam keadaan lemah dan separuh sedar, tersangkut di atas pokok kelapa berkenaan.

“Anggota bertugas menggunakan tangga untuk memanjat pokok sebelum menurunkan mangsa menggunakan kaedah ‘lowering tall belay’ dan ‘main line’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Belud untuk menjalani rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Operasi ditamatkan pada jam 3.28 petang,” katanya.

Berita Harian

17