Konvoi Motosikal Berkuasa Besar Sempena Hari Jadi TYT Akan Dikembangkan Ke Daerah Lain

KOTA BELUD: Acara konvoi bermotosikal berkuasa besar sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin akan diperluaskan ke daerah baru tahun hadapan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, usaha itu adalah pendekatan Tun untuk mendekati rakyat di negeri ini.

“Acara konvoi kali ini diadakan dengan jarak dari Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) sehingga ke daerah Kota Belud.

“Tun ingin acara ini dikembangkan ke daerah lain pada tahun hadapan dan ini adalah salah satu cara beliau untuk mendekati rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Acara Konvoi Motosikal Berkuasa Besar sempena Hari Jadi Rasmi Yang Dipertua Negeri Sabah ke-66 di sini, semalam.

Beliau berkata, sambutan masyarakat di sini terhadap acara ini cukup memberangsangkan dengan beramai-ramai datang sendiri menyaksikan program yang dianjurkan ini.

Tun Juhar (tengah) dan Toh Puan Norlidah (dua dari kanan) semasa acara memotong kek hari jadi.

“Saya sebagai pengerusi jawatankuasa induk penganjuran tahun ini ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang terlibat bersama-sama untuk menjayakan program ini.

“Kehadiran rakyat dalam pelbagai latar belakang di sini membuktikan kesatuan masyarakat negeri ini dibawah kerajaan baharu,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni serta tetamu kehormat yang lain.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *