AirAsia Bakal Wujudkan Penerbangan Terus Ke Sandakan, Tawau Dari Negara Asia

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan AirAsia akan mewujudkan laluan penerbangan terus ke Tawau dan Sandakan dari negara-negara Asia seawal tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad Tan Sri Tony Fernandes berkata, laluan penerbangan baharu itu dijangka bermula pada Januari atau selewat-lewatnya Februari 2020.

“Kini kita sudah bersedia untuk mengembangkan perkhidmatan penerbangan terus ke dua destinasi itu.

“Penerbangan itu adalah dari negara seperti China, Korea Selatan, Jepun serta negara Asia yang lain,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, semalam.

Beliau berhasrat melancarkan laluan baharu itu pada musim sejuk di negara seperti China dan Korea, pada masa yang sama mempromosikan destinasi-destinasi menarik di Sabah.

Katanya, Kota Kinabalu masih menjadi keutamaan operasi AirAsia dan ianya dapat diperkasakan apabila Lapangan Terbang Terminal 2 dapat dibuka.

“Ini juga adalah perbincangan saya dengan ketua menteri tadi, selain akan membangunkan lapangan terbang di Tawau dan Sandakan, Terminal 2 di sini juga akan dibangunkan selain di Kuching, Miri dan Sibu Sarawak.

“Kini kita mampu membawa 8 juta pengunjung ke sini dan sekiranya Terminal 2 ini dibuka, kita mampu membawa 15 juta pengunjung selain menyediakan 32,000 peluang pekerjaan.

“Selain itu ia juga akan membawa sejumlah RM150 bilion ekonomi kepada Sabah menerusi penerbangan-penerbangan ini,” katanya.

Menurutnya, Terminal 2 itu adalah satu aset penting yang tidak seharusnya dibiarkan kosong atau tidak digunakan. Pembukaan terminal itu membolehkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk menerima lebih banyak penerbangan antarabangsa.

Tony optimistik Terminal 2 itu akan dibuka semula selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah.

“Sekiranya diberikan kelulusan, kami mampu membangunkan terminal itu dalam tempoh enam bulan sahaja.

“Kapasiti lapangan terbang perlu ditingkatkan memandangkan Sabah akan memerlukan lebih ramai pelancong di masa hadapan,” katanya.

Selain itu, beliau juga menjelaskan AirAsia turut ingin membantu usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka menerusi platform e-commerce syarikat berkenaan iaitu Ourshop.com.

Katanya, produk yang dipasarkan itu akan menembusi pasaran antarabangsa dan pelbagai perkhidmatan akan disediakan oleh AirAsia bagi melancarkan urusan niaga.

UtusanBorneo

28