PPM Tahan Anggota Kongsi Gelap Di Perairan Lahad Datu

Foto Ihsan PPM

LAHAD DATU, 17 Okt: Seorang lelaki dipercayai anggota kongsi gelap daripada pertubuhan diwartakan haram di Malaysia, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Perairan Silam,  dekat sini pada Selasa lepas.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata anggota PPM yang menjalankan rondaan rutin terserempak bot pam dikendalikan warga asing berusia 25 tahun itu dalam keadaan mencurigakan pada 5.50 petang.

Foto Ihsan PPM

“Menyedari kehadiran anggota PPM, suspek menukar laluan bot dan memecut laju bot, melarikan diri ke arah Laut Giong, namun berjaya dipintas dan suspek ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, hasil pemeriksaan awal, suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Foto Ihsan PPM

“Pemeriksaan lanjut, menemukan suspek memiliki buku-buku, kad, dokumen keahlian suatu pertubuhan dan suspek mengakui kesemua dokumen berkenaan miliknya.

“Pemeriksaan di badan suspek juga terdapat tanda pengenalan keahlian pertubuhan berkenaan yang merupakan salah satu pertubuhan kongsi gelap yang diwartakan haram di Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata suspek dan barang rampasan termasuk bot pam dibawa ke Markas Operasi Lahad Datu bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *