Kembalikan Keharmonian Malaysia – Jeffrey Kitingan

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

KUALA LUMPUR: Perpaduan kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan serta kemakmuran negara dilihat semakin terhakis pada era Malaysia Baharu.

Menyuarakan kebimbangannya terhadap perkembangan itu, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Keningau) mahu kerajaan kembali kepada asas pembentukan negara iaitu perpaduan dan kemakmuran bersama demi kepentingan masyarakat berbilang kaum serta agama.

Pada pengamatannya, sentimen perkauman dan keagamaan tidak baik untuk negara ini dan perlu dikawal sebelum menjadi parah sehingga menggugat keselamatan serta ketenteraman awam.

“Malaysia Baharu seolah-olah semakin hilang kawalan dari segi perpaduan kaum dan agama sehingga ada pihak sewenang-wenangnya mengatakan `Malaysia hanya untuk Melayu’.

“Ini bertentangan dengan hakikat kewujudan Malaysia untuk semua rakyat yang memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Kita menghormati kedudukan istimewa Melayu dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, namun hak kaum lain juga perlu dihormati,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jeffrey berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu menyebabkan Bumiputera dan penduduk asal dari Sabah serta Sarawak berasa terpinggir, seolah-olah hak mereka dinafikan.

Bumiputera Sabah dan Sarawak, tegasnya, perlu dilayan sama seperti Melayu dalam mendapatkan hak pendidikan, biasiswa, peluang pekerjaan, jawatan kanan dan lesen perniagaan.

“Tidak kiralah sama ada mereka berada di Sabah atau Sarawak, atau berhijrah ke Semenanjung, mereka tidak boleh di pinggir dalam perkara berkenaan,” katanya.

Jeffrey juga meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan memperkenalkan Pas Sementara menggantikan tiga dokumen warga asing untuk mengekang kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah yang direkodkan melebihi 600,000 orang.

Tanpa mengetepikan hak asasi manusia, beliau tidak mahu Sabah dibanjiri PATI kerana boleh menggugat keselamatan penduduk tempatan, selain menyebabkan pelabur asing takut melabur di Sabah.

Berita Harian

18