Sabah,Sarawak Puas Hati Pelbagai Peruntukan Dalam Belanjawan 2020

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditemui wartawan selepas pembentangan Belanjawan 2020 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. – NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pemimpin negeri Sabah dan Sarawak hari ini berpuas hati dengan pelbagai peruntukan yang dicadangkan dalam Belanjawan 2020 khusus bagi kedua-dua negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri berpuas dengan kadar kenaikan Pemberian Khas kepada RM53.4 juta kepada negeri itu dan menyifatkan pemberian itu munasabah dengan keadaan negara berdepan cabaran ekonomi dan hutang yang tinggi.

“Ada peningkatan dari RM26 juta kepada RM54 juta, sekurang-kurangnya boleh membantu kita walaupun sebenarnya tidak begitu besar untuk menampung keperluan kita,” katanya sambil menyatakan Sabah menerima peruntukan itu seadanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini antara lain mencadangkan akan menggandakan kadar Pemberian Khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

Sejak 1969, kadar Pemberian Khas untuk Sabah dan Sarawak belum pernah disemak semula. Buat pertama kalinya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian berkata, ‘suara’ rakyat Sarawak telah didengari kerajaan terutamanya dalam mengatasi aspek pembangunan Bumi Kenyalang yang agak ketinggalan. 

Katanya, peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.4 bilion untuk Sarawak bukti keprihatinan kerajaan PH untuk membangunkan negeri itu. 

“Yang penting projek (dinyatakan dalam Belanjawan) perlu dilaksanakan dengan baik, (kerana) tiada makna jika kita umum peruntukan yang besar tetapi ia tidak dilaksanakan dengan betul. 

“Kami (Sarawak) ketinggalan dari segi pembangunan dan PH sedar hal ini dan cuba mengatasinya. Tetapi mereka tidak dapat melakukan dengan segera tetapi secara berperingkat. Namun belanjawan ini membuktikan PH memberi tumpuan kepada negeri ini,” kata Baru, yang juga Menteri Kerja Raya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *