Tiada Keperluan Tubuh RCI Untuk Siasat Penjualan MyKad

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kes penjualan MyKad yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman, berkata ini kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa penuh bagi menjalankan siasatan dengan menyeluruh.

“Memandangkan kes masih berjalan dan beberapa individu sudah didakwa di mahkamah, PDRM tidak bercadang mendedahkan sebarang maklumat yang boleh menjejaskan siasatan.

“Berhubung cadangan RCI ditubuhkan supaya siasatan berasingan dapat dilakukan, kerajaan berpendapat ia tidak perlu kerana PDRM diberi kuasa penuh untuk menjalankan siasatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-UMNO Machang) berhubung keperluan untuk mengubah sistem dan operasi sedia ada bagi membanteras penjualan MyKad kepada warga asing.

Azis berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menilai dan mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) bagi menambahbaik sistem sedia ada.

“KDN sebelum ini mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa tindakan serta-merta yang dilaksanakan berhubung perkara ini termasuk mewujudkan bank data asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sijil lahir.

“Sebagai maklumat tambahan, sepanjang tempoh 10 tahun sejak 2009, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan tujuh operasi membanteras sindiket penjualan kad pengenalan palsu dan setakat ini lapan individu sudah didakwa,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *