KUALA LUMPUR: Kecederaan akibat kemalangan yang dialami Penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) Md Rozaimi Abd Rahman menyebabkannya terpaksa bekerja keras untuk kembali mendapat tempat di dalam kesebelasan utama.
Bekas pemain Sabah itu sedar bukan mudah baginya untuk mendapat perhatian ketua jurulatih, Ervin Boban walaupun dia diturunkan dalam aksi separuh akhir Piala Cabaran dan final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat lalu.
Namun, Rozaimi yang pernah disenaraikan dalam 10 pemain terbaik Asia pada 2012 itu masih belum berpuas hati dengan prestasinya dan sedang berusaha untuk mendapatkan kembali momentum.
“Selepas kemalangan pada 2015, memang saya ambil masa untuk sembuh. Bukan mudah untuk kembali cergas seperti sebelum ini. Apabila dapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama, saya akan buktikan sedaya upaya kemampuan yang ada, tetapi semua itu bukan senang kerana perlu bersaing juga dengan pemain lain.
“Memang saya tidak puas hati lagi dan masih banyak kerja rumah yang perlu dibuat untuk mendapatkan momentum itu dan saya tidak boleh selesa dengan prestasi sekarang ini,” katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu berjaya menjaringkan enam gol di saingan Liga Perdana 2019 dan dua gol dalam aksi Piala Cabaran musim ini.
Namun, tugas berat masih menantinya dan rakan sepasukan apabila bakal membuat perhitungan di final kedua menentang UKM FC, Sabtu ini.
Kemenangan 1-0 yang diraih tempoh hari masih belum menjamin laluan mudah buat JDT II dan mereka harus mempamerkan aksi lebih agresif pada pertembungan timbal balik.
Harian Metro