Gaduh Di Sebuah Pusat Beli Belah Di KK, Lapan Individu Dicekup Polis

Kereta mangsa yang mengalami kerosakan. Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Lapan lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Coastal, di Kota Kinabalu, kelmarin, berjaya ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, dua kumpulan berkenaan dikatakan ‘bertempur’ sehingga seorang daripada mereka cedera, manakala sebuah kereta turut rosak selepas dipukul menggunakan benda keras.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pergaduhan itu tercetus ketika mangsa yang berusia 24 tahun bersama tiga rakannya melepak di kawasan pantai Tanjung Aru 2.

Katanya, mangsa dan rakannya tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali yang meminta rokok daripada mereka.

“Bagaimanapun, mangsa dan rakannya berkata kepada individu terbabit mereka tidak mempunyai rokok menyebabkan lelaki itu berang dan terus memaki hamun sehingga mencetuskan pertengkaran antara mereka.

“Mangsa bersama tiga rakannya kemudian meninggalkan tempat kejadian, namun dikejar oleh suspek bersama lima lagi rakan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa yang memandu kereta menuju ke sebuah pusat beli-belah di Jalan Coastal, sebelum kenderaannya dipintas oleh suspek bersama rakannya dan bertindak menyerang mangsa.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di muka dan badan. Susulan kejadian itu, ahli keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, kira-kira 12 tengah malam.

“Siasatan mendapati, kumpulan suspek turut merosakkan palang keluar di parkir pusat beli-belah berkenaan,” katanya.

Habibi berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis daripada daripada Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan lapan lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.

“Semua suspek lelaki berusia 20 hingga 25 tahun diberkas dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar raya itu dari jam 7 malam hingga 9 malam.

“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *