Maritim Patahkan Cubaan Seludup Petrol Dan Baja Ke Filipina

Bot pam, petrol dan baja yang dirampas APMM di Sungai Kinabutan Kecil, malam tadi, dipercayai cuba diseludup ke Filipina.

Tawau: Seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dipercayai cuba menyeludup petrol bersubsidi dan baja ke Filipina, di Sungai Kinabutan Kecil, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, semua suspek berusia 32 hingga 49 tahun itu ditemui dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah bot pam dipercayai dalam perjalanan dari jeti Kinabutan Kecil menuju ke negara jiran berkenaan.

Bot pam, petrol dan baja yang dirampas APMM di Sungai Kinabutan Kecil, malam tadi, dipercayai cuba diseludup ke Filipina.

Pengarah Zon Maritim Tawau Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, ketika kejadian, pihaknya sedang melakukan rondaan rutin di jeti itu dan menemui bot pam yang dinaiki ketiga-tiga suspek.

“Hasil pemeriksaan, anggota bertugas menemui 25 tong jeriken berisi petrol dan 38 karung berisi baja ‘Ammonium Nitrat’ di dalam bot pam berkenaan.

“Malah mereka juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran membawa muatan tersebut sekali gus tindakan itu melanggar Akta Bekalan Makanan 1961,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, semua suspek, bot pam dan barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM12,000 ditahan serta dibawa ke jeti APMM Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes turut diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Maritim selepas juragan yang juga warga tempatan itu memiliki bahan-bahan dipercayai untuk membuat bom ikan.

“Manakala dua lagi warga asing tersebut akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *