Lima PTI Ditahan Semasa Cuba Balik Ke Filipina

Lima lelaki warganegara Filipina ditahan bersama tiga motosikal dipercayai digunakan untuk membawa pendatang asing tanpa izin ke persisiran pantai sebelum dibawa ke Bongao, Filipina menaiki bot. Foto Ihsan PPM

LIMA PTI DITAHAN SEMASA CUBA BALIK KE FILIPINA DI PANTAI TAGUPI

LAHAD DATU: Lima lelaki pendatang asing tanpa izin (PTI) warganegara Filipina dipercayai cuba keluar dari daerah ini menggunakan laluan tidak diwartakan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di persisiran pantai Tagupi, dekat sini, semalam.

Lima lelaki warganegara Filipina ditahan bersama tiga motosikal dipercayai digunakan untuk membawa pendatang asing tanpa izin ke persisiran pantai sebelum dibawa ke Bongao, Filipina menaiki bot. Foto Ihsan PPM

Semua suspek berusia 18 hingga 50 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah ditahan pukul 10.40 malam menerusi Operasi Gelora.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek mengaku sedang menunggu sebuah bot.

“Hasil siasatan awal, bot berkenaan digunakan bagi membawa kesemua suspek terbabit menuju ke Bongao, Filipina.

“Kita turut menemukan tiga motosikal yang ditinggalkan di pesisir pantai berkenaan yang disyaki digunakan untuk mengangkut PTI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan dibawah Akta Imigresen 1959.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *