Tukang Cuci Kereta Maut Motosikal Ditunggang Rempuh Hilux

Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Sin On, Tawau, petang semalam.

TAWAU: Seorang remaja Indonesia maut, manakala rakannya cedera selepas dua motosikal yang dinaiki mereka berlanggar sesama sendiri sebelum merempuh kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sin On, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 4.10 petang itu, mangsa yang berusia 16 tahun maut ketika menerima rawatan di Hospital Besar Tawau, manakala rakannya, 16, patah pada jari kaki kiri.

Keadaan Motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Sin On, Tawau, petang semalam.

Difahamkan sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang juga rakan sekerja itu dalam perjalanan ke bandar Tawau menaiki dua motosikal berasingan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal salah seorang daripada mereka hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum merempuh bahagian belakang motosikal rakannya.

Kejadian itu menyebabkan motosikal rakannya terbabas ke lorong bertentangan sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang warga emas lelaki dari arah bertentangan.

Ketua Polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Assisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Kedua-dua remaja tersebut dikejarkan ke hospital, malangnya seorang daripada mereka meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

“Polis mendapati kedua-dua penunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen, manakala mangsa yang maut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1981.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *