Felda Sahkan Pegawai Dan Dua Peneroka Ditahan Kes Bunuh Gajah

Hasil bedah siasat mendapati kira-kira 70 peluru tabur ditemui di kiri dan kanan badan gajah Pygmy itu, dengan salah satu peluru menembusi tengkoraknya.

KOTA KINABALU: Felda mengesahkan seorang pegawainya dan dua peneroka telah ditahan polis berhubung insiden menembak mati seekor gajah Bornean di Kalabakan, Tawau pada 25 September lalu.

Agensi itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ketiga-tiga individu tersebut ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Pegawai dan peneroka itu merupakan antara enam suspek yang kini ditahan oleh pihak berkuasa kerana dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Pihak pengurusan Felda kini bekerjasama rapat dengan pihak polis dalam membantu siasatan yang masih lagi berjalan,” kata agensi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporatnya.

Rabu lalu, suspek yang terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga asing itu berjaya ditahan dalam Operasi Khazanah hasil maklumat awam.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Felda, agensi itu sama sekali tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan akan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya sekiranya kakitangan serta peneroka didapati bersalah dalam insiden berkenaan.

Katanya, perbuatan membunuh haiwan bertentangan dengan Dasar Perlindungan dan Penjagaan Alam Sekitar yang merupakan sebahagian daripada 15 Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang menjadi amalan Felda.

Selain itu katanya, Felda juga melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek kawalan hidupan liar termasuk gajah yang sering berlaku di ladang miliknya melibatkan penggunaan pagar elektrik dan juga parit atau amalan pemindahan gajah jika diperlukan tanpa mengancam nyawa.

“Felda juga secara aktif menjalin kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dalam menyediakan latihan dan seminar kepada petugas untuk meningkatkan kemahiran dan kesiagaan dalam menangani ancaman hidupan liar di ladang.

“Kami sentiasa mematuhi semua garis panduan dan undang-undang berkaitan pemeliharaan alam sekitar sebagai manifestasi komitmen Felda dalam memastikan aspek pengurusan ladang dilaksanakan secara lestari,” jelas Felda.

Tambahnya, sehingga kini, 163 Tanah Rancangan Felda telah berjaya mendapat pensijilan MSPO setelah memenuhi aspek-aspek akreditasinya termasuk pematuhan kepada polisi berkaitan kelestarian alam sekitar.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *