Warga Britain, Isteri Diculik Di Selatan Filipina

Seorang warga Britain dan isteri diculik dalam kejadian di sebuah resort di bandar Tukuran, Zamboanga Del Sur pada Jumaat lalu. – Foto Agensi

MANILA – Seorang warga Britain, Allan Hyrons dan isterinya, Welma Paglinawan-Hyrons yang merupakan rakyat tempatan diculik dalam kejadian terbaru di selatan Filipina yang dikuasai beberapa kumpulan bersenjata termasuk Abu Sayyaf.

Sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai menculik pasangan tersebut di resort milik mereka di bandar Tukuran, Zamboanga Del Sur pada jam 6.50 petang (waktu tempatan) kelmarin.

Lelaki yang mempunyai dua kerakyatan itu telah mengendalikan beberapa perniagaan sejak 2013.

Jurucakap pihak berkuasa, Mejar Helen Galvez berkata, dua suspek mendaftar masuk ke resort mereka sehari sebelum penculikan itu berlaku.

“Pasangan itu memiliki banyak hartanah dan perniagaan. Jadi mereka tidak kekal di suatu tempat. Kedua-dua suspek terbabit menunggu pasangan terbabit tiba di resort itu sebelum menculik mereka,” katanya.

Beberapa lelaki bersenjata lain turut memasuki resort tersebut dan memaksa pasangan terbabit menaiki dua motobot dan menuju ke dua arah tidak jelas.

Difahamkan operasi mencari telah diselaraskan bersama polis dan pihak berkuasa masih belum mengenal pasti kumpulan yang mendalangi insiden penculikan tersebut. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *