Usaha Holistik Perlu Promosi Pesta Damas Di Sukau

KINABATANGAN, 4 Okt: Usaha secara holistik perlu bagi mempromosikan Pesta Damas iaitu perahu daripada kaum Sungai sekali gus mempromosikan pekan Sakau sebagai salah satu destinasi ekopelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, usaha mempromosi produk budaya ini perlu dilakukan secara holistik,dengan kerjasama bukan sahaja oleh jabatan dan agensi kerajaan, malah oleh sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya juga berharap lebih banyak syarikat syarikat swasta dan korporat menaja dan mempromosikan lagi program-program kebudayaan seperti ini,” katanya ketika melancarkan pesta anjuran Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas) itu di sini.

Pesta tiga hari itu mulai hari ini diserikan dengan pelbagai acara seperti damas berhias, masakan tradisi, pakaian tradisi, nyanyian dan tarian tradisi kaum Sungai.

Selain itu Mohamaddin berkata projek infrastruktur pelancongan berasaskan pendidikan (edu-tourism) di Pusat Pemuliharaan Gajah Pygmy di Hilir Kinabatangan akan menjadi satu lagi tarikan apabila projek itu siap bulan ini.

Menurutnya, projek itu, yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, melibatkan peruntukan sebanyak RM5.7 juta di bawah pelan pusingan keempat Rancangan Malaysia Ke-10.

Beliau berkata antara komponen yang terlibat dalam projek itu adalah pusat kemudahan gajah, parkir, landskap, menara pemerhati dan plot penanaman pokok serta bekalan air dan elektrik.

Di samping itu, Mohamaddin berkata kementeriannya juga menjalankan Projek Pembinaan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kinabatangan, dengan peruntukan RM7.5 juta, di bawah pelan pusingan ketiga RMK-10 dan dijangka siap pembinaannya pada 25 April depan.

“Saya berharap penduduk di sini akan mendapat manfaat daripada projek ini dan seterusnya meningkatkan budaya membaca,” katanya.

Mohamaddin turut memberitahu kerajaan sedang giat menjalankan kempen Melawat Malaysia 2020 (MM2020) yang menyasarkan seramai 30 juta pelancong asing, dengan penjanaan pendapatan pelancongan negara sebanyak RM100 bilion.

BERNAMA