Budak 11 Tahun Antara 53 Individu Ditahan Dalam Operasi Benteras Dadah

Pasukan polis menahan beberapa individu kerana disyaki terbabit penyalahgunaan dadah di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun antara 53 individu ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah hasil serbuan dibeberapa kawasan sekitar daerah ini dalam Ops Sarang selama seminggu yang berakhir semalam.

Ops Sarang dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 turut menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah.

Antara individu yang ditahan kerana terbabit penyalahgunaan dadah dalam Ops Sarang di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, menerusi operasi itu seramai 53 individu ditahan membabitkan pengedar dan penagih dadah.

“Hasil daripada serbuan itu seorang lelaki disyaki pengedar dadah diberkas dan seramai 15 individu ditahan kerana memiliki dadah.

“Selain itu seramai 37 individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki ditahan kerana positif urin,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Jelas Habibi, 40 individu yang ditahan adalah warga tempatan manakala 13 adalah warga asing berusia 11 hingga 57 tahun.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah menerusi operasi itu sebanyak 8.74 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM437 mengikut harga dadah semasa.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata Ops Sarang kali ini bukan sahaja mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah tetapi juga untuk membanteras masalah penagihan yang semakin berleluasa.

“Oleh itu Ops Sarang kali ini dilaksanakan dalam skala yang besar dengan pembabitkan pasukan PGA Batalion 16 yang sama-sama menggempur sekali gus membanteras penyalahgunaan dadah di beberapa kawasan antaranya Kampung Sembulan dan Kampung Air.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya ini sentiasa diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam,” ujarnya. -SabahNewsToday