Bapa Leiking, Isteri Shafie Penerima Anugerah Tertinggi Sempena Hari Jadi TYT Sabah

KOTA KINABALU: Tokoh perniagaan Joseph Lo Tain Foh mengetuai senarai 1,282 penerima anugerah negeri sempena ulangtahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin hari ini.

Lo, bersama bekas setiausaha kerajaan negeri KY Mustafa, dan Marcel Leiking, bapa kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking, akan menerima anugerah tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Anugerah kedua tertinggi negeri, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK), yang membawa gelaran Datuk, dianugerahkan kepada 68 individu, diketuai isteri Ketua Menteri Shafie Apdal, Shuryani Shuaib.

Penerima lain termasuk Pengarah Jabatan Air Amarjit Singh, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar William Baya, dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah Muguntan Vanar.

Turut menerima Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr, pengasas Bukit Harapan Anne John P Arulnaselam-Keyworth, dan pengasas Orangutan Appeal UK Susan Ann Sheward.

Semarai 16 individu dijadikan Jaksa Pendamai, termasuk Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli dan bekas presiden Pertubuhan Undang-undang Sabah Keith Soh.

Seramai 75 orang juga akan menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), termasuk Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga, dan Ketua Polis Lahad Datu Nasri Mansor, 130 Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 456 Bintang Setia Kinabalu (BSK), 324 Bintang Kinabalu (BK) dan 210 Sijil Hormat.

Perarakan akan diadakan di Padang Merdeka pada 7 pagi esok, diikuti istiadat pengurniaan di Istana Negeri. – FMT