Hatrik Syafiq Bantu Benam Sri Lanka

Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (tengah), meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan ketika perlawanan Bolasepak Persahabatan antara Malaysia menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil.- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Penyerang muda, Syafiq Ahmad membuktikan betapa dia layak menggalas tugas sebagai penyerang utama apabila hatriknya membantu Harimau Malaya membenam Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Bagaimanapun, kemenangan itu sememangnya sudah dijangka apatah lagi Malaysia tampil sebagai pasukan lebih baik berbanding skuad ‘Singa Emas’ yang menghuni kedudukan ke-202 dunia itu sekali gus menambah luka ke atas Sri Lanka yang tewas tiga aksi berturut turut sebelum ini.

Pemain Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha ketika menjaringkan gol kedua pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil. – Foto BERNAMA

Apapun, keputusan itu sedikit sebanyak dapat menjadi motivasi terbaik buat pemain negara sebelum bertemu Vietnam bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Hanoi, minggu depan namun harus diingat, Vietnam tidak ‘sejinak’ Sri Lanka.

Pada aksi terbabit, Malaysia bermula garang menghantar amaran awal menerusi percubaan Syafiq pada minit keempat namun tandukannya sedikit melewati palang.

Bagaimanapun, ‘acahan’ Syafiq menjadi kenyataan empat minit berselang apabila percubaannya yang menyambut hantaran lintang Safawi Rasid daripada sebelah sayap kanan skuad negara menerjah gawang untuk gol pertama skuad negara.

Kegagalan Sri Lanka berdepan sepakan sudut dan tidak mengeluarkan bola dengan baik pada minit ke-13 menyaksikan mereka dihukum apabila Shahrul Saad memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gol untuk menyumbat gol kedua sekali gus Malaysia selesa berkelebihan dua gol hanya dalam tempoh 15 minit pertama.

Malaysia nyata enggan memberi ruang kepada Sri Lanka untuk ‘bernafas’ selepas selang tiga minit, penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha mencetak nama selaku penjaring menerusi gerakan mirip gol pertama apabila menyudahkan hantaran lintang Syafiq untuk gol ketiga negara.

Berkelebihan tiga gol memasuki babak kedua, Malaysia terus bernafsu untuk ‘meratah’ Sri Lanka dan kali ini, Norshahrul bertindak sebagai perancang apabila hantaran lintangnya disudahkan Akhyar Rashid daripada jarak dekat untuk gol keempat pada minit ke-51.

Gol kelima yang dicari hanya muncul pada minit ke-75 menerusi gerakan solo Syafiq yang mudah menewaskan penjaga gol Sri Lanka, Hilmi Luthfi sebelum pemain berusia 24 tahun itu melengkapkan hatriknya dengan jaringan voli pada minit ke-88.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *