Polis Tahan Sekumpulan Warga Indonesia Curi Motorsikal Di Beluran

Gambar Hiasan

BELURAN, 3 Okt: Polis Beluran menahan sekumpulan warga Indonesia yang aktif dalam aktiviti mencuri motorsikal dan pecah rumah di daerah itu sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Supt Kasim Muda berkata penangkapan suspek berumur 20-31 tahun itu susulan laporan polis dibuat oleh seorang mangsa pada minggu lepas lepas.

“Pada 29 Sept lebih kurang 5 petang, semasa pengadu seorang peniaga kedai runcit warga Pakistan sedang melalui jalan di Ladang Tongod Jaya dengan menunggang motorsikal, pengadu disamun tiga lelaki bertopeng bersenjatakan dua bilah parang dan selaras senapang guli.

“Siasatan lanjut mendapati suspek aktif dengan sebuah kumpulan melakukan kes curi motorsikal dan pecah rumah sejak awal tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kasim berkata empat ahli kumpulan itu ditahan dalam Operasi Lejang yang dilancarkan pada 27-30 Sept, manakala tiga lagi rakan mereka masih bebas.

Ketika ditahan, kesemua mereka positif dadah jenis syabu dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, siasatan lanjut juga mendapati kumpulan itu terlibat dalam 15 kes pelbagai jenayah curi di Telupid, Sapi Nangoh dan Paitan dalam daerah Beluran, serta Pitas dalam daerah Kota Marudu.

Dalam perkembangan lain, Kasim berkata polis telah menahan seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia kerana disyaki membunuh rakan senegaranya di Ladang Tulidmas, Telupid pada 18 Sept lepas.

Menurutnya, dalam kejadian 6 pagi itu, suspek berumur 37 tahun tiba-tiba menyerang mangsa dengan sebatang besi ketika satu sesi taklimat di hadapan pejabat ladang itu.

“Satu pergelutan berlaku antara suspek dan mangsa dan dalam pergelutan itu, suspek memegang sebilah pisau dan menikam mangsa di bahagian perut,” katanya.

Kasim juga berkata  sejak Januari tahun ini hingga bulan lepas, Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran berjaya menyelesaikan 67.27 peratus kes jenayah berbanding 55.56 peratus dalam tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kes meningkat dari Januari hingga September tahun ini dengan 55 kes berbanding 45 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *