Lelaki Hilang Ketika Tangkap Ikan Di Kota Marudu Ditemui Mati

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 3 Okt: Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di sungai dekat Kampung Popok Laut, Kota Marudu, sejak Selasa lalu ditemui mati, pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, mangsa dikenali sebagai Anika Takai, 29, ditemukan penduduk kampung pada kira-kira 8 pagi tadi berhampiran kawasan mangsa dipercayai terjatuh.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” menurut pusat gerakan itu dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa dipercayai hilang pada 1 Okt kira-kira jam 11.43 malam dan Balai Bomba Penyelamat Kota Marudu menerima laporan mengenai kejadian itu pada 9 pagi semalam.

Sepasukan pegawai dan anggota BBP Kota Marudu kemudian bergegas ke lokasi kejadian bersama empat anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air seterusnya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa sehingga 5.30 petang semalam.

“Bagaimanapun, semasa pasukan bomba membuat persiapan untuk menyambung operasi pencarian di lokasi kejadian pada hari ini, mayat mangsa dilaporkan telah ditemukan penduduk kampung. Operasi ditamatkan pada 9.35 pagi tadi,” menurut kenyataan itu.

BERNAMA