Kawalan Keselamatan Di Sempadan Sabah-Kalimantan Diperketat – Shafie

TARAKAN, INDONESIA: Kerajaan Sabah dan Kalimantan Utara akan meningkatkan kerjasama dalam memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan negara masing-masing bagi menangani aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan penyeludupan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, langkah memperketat kawalan keselamatan di sempadan kedua-dua wilayah itu akan membolehkan pemantauan dalam pelbagai aspek dilakukan dengan lebih dekat.

“Gabenor Kalimantan Utara juga menunjukkan indikasi bagaimana untuk merealisasikan pengawalan di sempadan.

“Kita bukan mahu menghalang orang datang dari satu tempat ke tempat lain. Ia dilakukan untuk memastikan ada kawalan yang betul agar pemerdagangan manusia dan penyeludupan barangan tidak berlaku.

“Bila kita menggalakkan perdagangan secara haram, ia satu amalan yang tidak sihat dan tidak boleh memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah.

“Maka, penting bagi kita meningkatkan hubungan kerjasama antara kedua-dua wilayah ini agar sempadan di Simanggaris, Kalimantan Utara dan Serudong, Tawau sentiasa dikawal rapi,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Kunjungan Hormat Ketua Menteri Sabah kepada Gabenor Kalimantan Utara, Dr H.Irianto Lambrie, di sini pada Rabu.

Beliau juga yakin apabila ibu kota Indonesia berpindah ke Kalimantan Timur, Kepulauan Borneo dan ekonomi ketiga-tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam akan dapat dipertingkatkan.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie menyatakaan kesediaan Kerajaan Sabah dalam membantu Kalimantan Utara dalam pelbagai aspek yang perlukan kerjasama kedua-dua wilayah itu.

“Kita akan lihat sama ada dari aspek keselamatan, pengurusan ekonomi dan berbagai sudut yang ada, yang mana boleh direalisasikan bagi membantu menjayakan dan mempermudahkan hubungan kerjasama yang ada.

“Kita perlu saling membantu kerana kita berada dalam rantau Asean.

“Maka, ada keperluan untuk kita mengeratkan hubungan bukan hanya dari sudut dagangan, persaudaraan mahupun persahabatan. Ini penting bagi memudahkan urusan serta membolehkan kedua-dua wilayah memperolehi manfaatnya,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *