Lelaki Warga Pakistan Yang Datang Ke Sabah Sanggup Nikahi Wanita berusia Termasuk Yang Berstatus Nenek

WARGA asing didapati menyewa bangunan komersial, selain menyewa rumah atau premis daripada penduduk setempat yang diubah suai menjadi kedai dengan menjual pelbagai barangan keperluan harian. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Lelaki warga Pakistan yang datang ke Sabah sanggup berkahwin dengan wanita berusia termasuk yang berstatus nenek, semata-mata mahu mendapatkan pas lawatan sosial suami asing kepada warga negara untuk tinggal lama dan berniaga di negeri ini.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman, kepada BH.

WARGA Pakistan dikenali sebagai Mohamad berniaga kedai runcit di Inanam mengaku berkahwin dengan wanita tempatan supaya dapat tinggal lama di Sabah. – Foto Mohd Izham Unnip Abdullah

“Bayangkan, lelakinya berumur 20-an atau 30-an, tetapi wanita tempatan yang dikahwini ada yang berumur 50 tahun hingga 60 tahun. Pada mulanya kita syak ada yang tidak kena dengan permohonan itu, tetapi apabila disemak dokumen semua lengkap, ada rekod jabatan agama,” katanya.

Musa berkata, ada juga pasangan lelaki Pakistan dan wanita warga tempatan berasal dari Sabah berkahwin di Semenanjung sebelum memohon pas lawatan sosial suami asing kepada warga negara di negeri ini.

Katanya, tindakan lelaki warga Pakistan yang merantau ke negara lain dan berkahwin dengan wanita tempatan untuk membolehkan mereka tinggal lama dan berniaga di sesuatu tempat, berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Musa berkata, perkahwinan dengan wanita tempatan membolehkan lelaki asing menggunakan nama isteri untuk memohon lesen berniaga bagi memenuhi tujuan sebenar mereka datang ke Sabah iaitu menjalankan perniagaan, khususnya kedai runcit.

TINJAUAN peniaga warga Pakistan di sekitar Kampung Likas, Kota Kinabalu. – Foto Khairull Azry Bidin

“Warga Pakistan yang datang ke Sabah tidak ramai berbanding warga Filipina dan Indonesia tetapi mereka adalah antara warga asing yang dikesan paling ramai berkahwin dengan wanita tempatan.

“Selepas berkahwin, mereka boleh memohon pas lawatan sosial suami warga asing dan kebenaran bekerja. Jabatan Imigresen akan merujuk permohonan itu kepada Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan biasanya memang diterima.

“Nama isteri pula boleh digunakan memohon lesen berniaga tetapi yang menjalankan perniagaan ialah warga Pakistan terbabit. Kebanyakannya beginilah kes yang membabitkan warga Pakistan di Sabah,” katanya.

Musa berkata, berdasarkan perangkaan Jabatan Imigresen Sabah, sebanyak 299 pas lawatan sosial suami asing warga Pakistan kepada warga negara dikeluarkan antara Januari hingga Julai tahun ini, manakala enam kebenaran bekerja dikeluarkan.

Beliau berkata, tahun lalu 736 pas lawatan sosial suami asing warga Pakistan dikeluarkan dengan 28 kebenaran bekerja, manakala masing-masing 925 pas lawatan sosial suami asing warga Pakistan dan 36 kebenaran bekerja dikeluarkan pada 2017.

“Jabatan Imigresen turut mengeluarkan pas pegawai dagang atau ekspatriat kepada warga Pakistan yang menjalankan aktiviti perdagangan di Sabah iaitu masing-masing 86 setakat Julai tahun ini, 134 pada tahun lalu dan 144 pada 2017,” katanya.

Musa berkata, pihaknya sedar banyak rungutan disuarakan penduduk tempatan berkaitan warga Pakistan yang semakin ramai menjalankan perniagaan sehingga ke kampung dan kawasan terpencil di negeri ini.

“Rungutan itu memang benar tetapi warga Pakistan terbabit memiliki pas kerana berkahwin dengan wanita tempatan. Kita tidak menafikan ada juga yang tiada pas atau pas tamat tempoh berdasarkan tangkapan pernah dibuat sebelum ini tetapi majoritinya ada pas.

“Puncanya ialah penduduk tempatan sendiri, kita tidak tahu apa kelebihan lelaki Pakistan yang menyebabkan wanita tempatan tertarik dengan mereka. Kemungkinan atas faktor itu juga, semakin ramai lelaki Pakistan datang ke Sabah kerana mudah untuk berkahwin di sini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan segelintir warga Pakistan masuk ke Sabah melalui Menumbok dari Wilayah Persekutuan Labuan untuk mengelak pemeriksaan imigresen, Musa mengakui pernah menemui kes seumpama itu.

Katanya, kebanyakan warga Pakistan yang menggunakan laluan itu untuk masuk ke Sabah menyasarkan lokasi terpencil dan jauh dari ibu negeri untuk bekerja sebagai peniaga kedai runcit atau membantu perniagaan rakan.

Sementara itu, seorang lelaki warga Pakistan yang mengusahakan kedai runcit di Inanam, dekat sini, berkata dia baru setahun menetap di Sabah.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 20, berkata dia membuat keputusan untuk mengahwini gadis tempatan selepas kira-kira dua bulan berada di sini bagi membantu rakannya berniaga kedai runcit.

Selepas berkahwin, dia dan pasangannya berusia 19 tahun yang berasal dari Kota Belud, mengambil alih perniagaan kedai runcit itu hingga ke hari ini.

“Kalau tidak kahwin orang sini, saya tidak boleh tinggal lama. Saya suka tinggal sini dan berniaga. Memang orang Pakistan kalau pergi ke negara lain, mereka mesti berniaga,” katanya.

Mohamad berkata, keluarga isteri juga menerimanya dengan baik dan dia tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan kerana dia sudah belajar bahasa Melayu ketika mula-mula tiba di Sabah.

Sementara itu, wanita itu berkata dia tidak rasa terbeban berkahwin dengan lelaki Pakistan itu walaupun perlu memperbaharui pas lawatan suaminya mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Saya tertarik dengan sikap dia yang rajin dan berani selain pandai berniaga,” katanya.

Berita Harian