Sabah Dalam Usaha Jadikan SK Moyog Perintis Sekolah Pelancongan

PENAMPANG, 29 Sept: Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah sedang berusaha untuk menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Moyog sebagai perintis sekolah pelancongan di negeri ini, kata Pembantu Menterinya, Jenifer Lasimbang.

Beliau berkata persekitaran sekolah rendah itu, yang terletak kira-kira 19.5 kilometer dari sini, sangat  sesuai dijadikan sebagai model sekolah pelancongan kerana berhampiran anak sungai Moyog dan dikelilingi panorama menghijau selain bersebelahan dengan sungai yang dipulihara menerusi sistem tagal dan mempunyai ikan.

Sistem Tagal bertujuan memulihara alam sekitar serta ekosistem untuk manfaat generasi akan datang.

“Ia sangat cantik. Justeru, saya telah bertemu dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Mohamaddin Ketapi dan memohon sokongan dana untuk transformasi SK Moyog sebagai sekolah pelancongan dan beliau telah meluluskan dana terkenaan.

“Kami akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia Sabah kerana MOTAC memberi tugas kepada agensi itu untuk membuat penilaian. Saya mahu komuniti setempat turut terlibat dalam perancangan dan mencari kaedah efektif bagaimana untuk transformasi SK Moyog sebagai sekolah pelancongan,” katanya selepas merasmikan Pesta Rakit sempena sambutan Hari Sungai Sedunia 2019 peringat Penampang di sini, hari ini.

Jenifer berkata, kementeriannya turut menggalakkan mana-mana sekolah di Sabah khususnya berpotensi dijadikan sebagai sekolah pelancongan untuk tampil memberi kertas cadangan, dan pada masa ini, pihaknya menerima dua cadangan sekolah iaitu SK Meligan, Sipitang dan SK Salilaran, Pensiangan.

Mengenai program itu, Jenifer berkata, pesta rakit yang memasuki tahun kelapan penganjurannya itu diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan menjaga kebersihan sungai termasuk tidak membuang sampah merata-rata demi menjamin kualiti ekosistem lebih baik.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog berkata, pihaknya turut menyediakan sebuah mesin penghancur botol kaca untuk digunakan oleh setiap kampung dan sekolah terdapat di kawasannya sebagai antara usaha memastikan botol dan kaca tidak dibuang terus ke sungai sebaliknya dikumpul dan ditukar menjadi sesuatu lebih berfaedah.

“Botol dan kaca yang dihancurkan itu akan menjadi pasir dan sekolah atau kampung (boleh menjual pasir) untuk menjana pendapatan kerana pasir itu boleh digunakan dalam pembinaan,” katanya.

BERNAMA