40,000 Liter Air Dibekalkan Buat 10 Kampung Terjejas Kemarau Di Sook, Keningau

KENINGAU, 29 Sept: Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook mengambil inisiatif mengagihkan 40,000 liter air bersih terawat kepada penduduk di mukim Dalit, Trans Pegalan dan Sook, yang terjejas akibat kemarau sejak semalam.

Pegawainya Edward Kandok berkata 10 kampung dalam ketiga-tiga mukim berkenaan akan mendapat manfaat bekalan air bersih terawat itu dengan setiap satu dibekalkan 4,000 liter air, menggunakan tiga lori tangki.

“Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony turut memberi sumbangan RM10,000 bagi membiayai pembekalan air terawat itu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Cuaca panas dan kering melanda kawasan pedalaman dan sekitarnya sejak beberapa minggu lalu telah mengakibatkan sebahagian besar kampung khususnya yang belum mendapat akses bekalan air terawat, mengalami krisis bekalan air.

Edward berkata pihaknya akan sentiasa memantau lain-lain kampung, di samping meminta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memantau keperluan penduduk serta melaporkan keadaan cuaca di kawasan mereka pada setiap masa.

Sementara itu, seorang penduduk kampung Suhaidah Arif turut merayu kepada pihak kerajaan supaya mengambil tindakan proaktif membina saluran paip utama bagi memudahkan penduduk kampung di sepanjang Jalan Keningau-Sook terutama di Batu 8 sehingga Batu 12 (Suan Totogop-Sondukut Simpang Tomboilik-Sondukut) mendapatkan bekalan air bersih secukupnya.

“Sudah berpuluh tahun penduduk di sini bergantung kepada air hujan untuk pelbagai keperluan. Saluran paip di kawasan itu masih belum dibina sejak sekian lama,” katanya.

BERNAMA