RM238.5 Juta Peruntukan Projek Dalam Perancangan KKM Di Sabah

TAWAU: Kerajaan memperuntukkan RM238.5 juta untuk menampung kos semua projek pembinaan dan naik-taraf fasiliti kesihatan yang berada dalam perancangan untuk Sabah.

Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, terdapat 14 projek Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada dalam perancangan di negeri ini.

“Projek-projek itu merangkumi lapan fasiliti baharu seperti pembinaan Klinik Kesihatan (KK) dan kuarters serta enam projek naik-taraf,” katanya, semasa ditemui di sini kelmarin.

Dzulkefly berkata, lapan projek pembinaan fasiliti baharu itu melibatkan projek KK Langkon (Jenis 6) Kota Marudu dengan proses tendernya dijangka dibuka pada 2020.

Dua lagi projek membabitkan proses tender yang dijangka dibuka pada 2020 melibatkan pembinaan KK Pulau Sebatik (Jenis 6) Tawau dan KK Tenom dengan kuarters (Jenis 3).

Manakala, KK Kg Sg Manila Sandakan dengan kuarters (Jenis 6) (proses tender dijangka pada bulan hadapan) dan KK Sikuati Kudat dengan kuarters (Jenis 5) pada bulan ini.

Proses tender Pusat Pakar Pergigian Sabah, Kuarters kakitangan KK Timbua Ranau dan Kuarters Integrasi Hospital Ranau dijangka akan dibuka sebelum akhir tahun ini.

Enam projek naik-taraf yang terlibat pula meliputi Blok Wad Lama dan Jabatan Farmasi Hospital Duchess of Kent, Sandakan serta Sistem Pembentungan di Hospital Ranau.

Turut dimasukkan, kerja menaik-taraf Hospital Kota Marudu, Gas Perubatan Hospital Tawau, Sistem Pembentungan Hospital Mesra Bukit Padang dan Hospital Beaufort.

Pada masa sama, Dzulkefly mendedahkan bahawa terdapat sebuah projek yang ditangguhkan dan ada beberapa projek lagi yang dibatalkan oleh kementeriannya.

Ditanya kriteria projek yang dibatalkan, beliau berkata perkara itu ada perhitungannya sendiri tetapi pihaknya bersedia untuk menilai semula status satu atau dua projek terbabit.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *