Pembalakan, Pelombongan Haram: Sabah Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM

KOTA KINABALU, 28 Sept: Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana laporan berkaitan pembalakan dan perlombongan haram.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau menyerahkan kepada agensi itu untuk menyiasat jika mereka mendapat pelbagai maklumat mengenai pembalakan dan perlombongan haram di negeri ini.

“Kita tidak mahu masuk campur dalam mana-mana siasatan dijalankan. Apa yang penting kita mahukan kegiatan rasuah yang ada di Sabah bukan sahaja dapat dikurangkan sebaliknya dihakis.

“Sebab ni salah satu yang telah menjadi antara perkara disentuh pada Pilihan raya Umum (PRU) lepas di mana masyarakat sebelum PRU mahu kita menangani masalah ini,” katanya.

Semalam, pada Majlis Dialog Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Media Sabah, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya menyatakan kegiatan pembalakan dan perlombongan haram di seluruh negara kini menjadi fokus SPRM.

Beliau yakin Latheefa punya keupayaan serta pengalaman dan Kerajaan Negeri akan membantu perkara serta maklumat yang diperlukan tanpa melindungi mana-mana pihak.

Mengenai kajian semula penggunaan bot pam di negeri ini, Mohd Shafie berkata beliau sudah meminta laporan lengkap cadangan itu daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Laporan itu termasuk merangkumi cadangan daripada agensi keselamatan yang lain.

Menurutnya, beliau sudah meminta Omar membentangkan cadangan itu kepadanya secepat mungkin.

BERNAMA