Dua Lelaki Ditahan Selepas Disyaki Merogol Dua Remaja Perempuan Berusia 12 & 15 Tahun Di Ranau

SEKADAR GAMBAR HIASAN

RANAU: Dua lelaki tempatan berusia 20-an ditahan polis selepas disyaki merogol dua remaja berusia 12 dan 15 tahun di Ranau.

Difahamkan, kejadian berlaku pada awal September di lokasi berasingan apabila seorang mangsa yang masih bersekolah dan seorang lagi mangsa tidak bersekolah melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan kedua-dua suspek sejurus menerima laporan.

“Seorang suspek ditahan di hadapan sebuah restoran di pekan Ranau pada 21 September lalu, manakala seorang lagi suspek ditahan di Jalan Sulaman Menggatal, kelmarin.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shahrul berkata, seorang remaja terbabit dalam jenayah pecah masuk sebuah premis berjaya ditahan ketika sepasukan anggotanya menjalankan rondaan di Kampung Rapak, di Ranau, kelmarin.

“Ketika ditahan, remaja lelaki berusia 16 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan pada begnya didapati berisi rokok, makanan serta minuman ringan. Hasil soal siasat mendapati, remaja terbabit mengakui memecah masuk sebuah premis di kampung terbabit,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Harian Metro