Tiga Warga Pakistan Jual Rokok Tidak Bercukai Ditahan

Lelaki warga Pakistan ditahan selepas dipercayai menjual rokok tidak bercukai dalam operas bersepadu, semalam. Gambar SNT/Ihsan PPM

KOTA KINABALU: Tiga lelaki warga Pakistan ditahan dan merampas 2,791 bungkus rokok tidak bercukai bernilai RM26,960 di beberapa premis di Penampang, Putatan dan Tuaran dalam operasi bersepadu mengekang penjualan rokok seludup.

Operasi bersepadu selama 14 jam bermula 9.30 pagi semalam, Pasukan Polis Marin (PPM) turut merampas sebuah kereta jenis Proton Perdana kerana disyaki digunakan untuk mengedar rokok seludup berkenaan.

Suspek warga Pakistan ditahan selepas menemui rokok seludup di premis dalam operasi bersepadu semalam. Gambar SNT/Ihsan PPM

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bertindak atas maklumat Gerakan Anti Rokok Seludup (GARS) yang disalurkan kepada Komander PPM PDRM Bukit Aman, melakukan operasi di beberapa premis sekitar Penampang, Putatan dan Tuaran.

“Hasil operasi itu, tiga lelaki warga Pakistan berusia 20 hingga 49 tahun yang bertindak sebagai penjual rokok di premis berkenaan ditahan.

“Turut dirampas sebanyak 2,791 bungkus rokok atau 55,676 batang rokok dipercayai tidak bercukai yang bernilai RM26,960,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta Proton Perdana dipercayai milik salah seorang suspek di Tuaran bagi tujuan edaran rokok seludup.

Kereta Proton Perdana dengan muatan rokok seludup dirampas PPM dalam operasi bersepadu di Tuaran. Gambar SNT/Ihsan PPM

“Ketiga-tiga suspek dan semua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis berdekatan untuk laporan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Tuaran untuk siasatan lanjut.

“Keseluruhan rampasan bernilai RM56,960 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata operasi bersepadu ini bertujuan sebagai usaha untuk melumpuhkan penjualan rokok seludup di beberapa daerah yang dikenal pasti di Sabah.

“Usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan yang bertujuan melumpuhkan aktiviti penjualan rokok seludup negeri ini,” katanya.

Operasi itu membabitkan tiga pegawai kanan polis, sembilan anggota polis marin, enam anggota IPD dan balai polis serta empat anggota Majlis Daerah Penampang dan Putatan. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *