KOTA KINABALU, 26 Sept” Tular di media sosial kononnya kadar harga getah di Sabah adalah jauh lebih rendah berbanding di Semenanjung baru-baru-baru ini adalah tidak benar, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong.
Beliau berkata pihak yang menyebarkan maklumat harga kadar getah antara Sabah dan Semenanjung tisdak mengetahui bahawa di semenanjung tidak terdapat getah kepingan.
Selain itu, katanya, berdasarkan maklumat di laman sesawang Lembaga Getah Malaysia, Isnin lalu, harga getah SMR20 yang diproses adalah pada kadar RM5.53/kg dan harga berkenaan dijadikan sebagai asas untuk menetapkan kadar harga getah pekebun kecil.
“Adalah tidak munasabah jika harga getah mentah yang dibeli daripada pekebun kecil lebih tinggi berbanding harga getah SMR20. Justeru, kerajaan menasihatkan pihak menyebarkan berita tidak sahih agar segera menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Junz Wong turut menasihatkan pekebun kecil di Sabah supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih dan mereka diminta mendapatkan maklumat harga getah harian di semua pejabat Lembaga Industri Getah Sabah atau melayari laman sesawang http://www.sabah.gov.my/ligs.
Para pekebun kecil juga boleh mengetahui harga getah semasa menerusi siaran radio tempatan antara jam 6.30 pagi hingga 7.45 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat, katanya.
BERNAMA