Polis Lupus Barangan Judi Siber, DVD Bernilai Hampir RM900,000

KOTA KINABALU: Barang rampasan peralatan judi dan cakera padat digital DVD/VCD cetak rompak bernilai hampir RM900,000 yang dirampas di sekitar pusat bandaraya akan dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk dilupuskan dengan menggunakan sistem e-waste.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, barangan perjudian siber yang dirampas sejak 2002 hingga 2014 itu membabitkan 1,242 barangan termasuk CPU, monitor komputer, mesin judi, papan kekunci, tetikus, alat pencetak, modem dan speaker.

Kesemua rampasan yang bernilai RM248,000 itu melibatkan 23 kertas siasatan. Kesemua kes telah selesai didakwa di mahkamah dan ada yang NFC (tiada siasatan susulan).

Barangan rampasan melibatkan cakera padat digital (DVD) dan VCD cetak rompak yang dilupuskan membabitkan sejumlah 127,671 keping DVD/VCD yang bernilai RM638,355.

Foto PDRM

“Kesemua DVD/VCD ini dirampas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2018. Ini melibatkan 27 kertas siasatan yang melibatkan 22 tangkapan.

“Daripada jumlah itu,11 kes telah didakwa di mahkamah manakala, 16 kes lagi mendapat arahan NFA dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam Sidang Media sempena pelupusan barang rampasan kes yang dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Rabu.

Omar berkata, proses pelupusan barangan kes itu akan dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar. Pelupusan ini akan dikendalikan oleh Syarikat Lagenda Bumimas Sdn Bhd yang berpusat di Pulau Pinang.

Pelupusan menggunakan kaedah e-waste ini akan melupuskan barangan dan peralatan yang tidak lagi digunakan dan perlu dilupuskan.

“Jika dilihat komponen elektronik di Malaysia tersenarai sebagai buangan berjadual dibawah peraturan Kualiti Alam Sekeliling Buangan Terjadual 2015 mengikut Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“E-waste termasuk dalam bahan buangan terjadual kerana ia mudah terbakar, menghakis, bertindak balas dan toksik yang beri impak kepada kesihatan manusia dan mengancam alam sekitar,” ujarnya.

Foto PDRM
Foto PDRM

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *