Yazit Search Kritikal

Pemuzik terkenal, Yazit Ahmad, kini dikatakan berada dalam keadaan kritikal di HKL.

KUALA LUMPUR: Bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Wad Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kerosakan otak.

Menurut anaknya, Shafiqa Nurlis, doktor memaklumkan mereka sekeluarga perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan dan andai kata masih bertahan, Yazit hanya mampu bergantung pada mesin pernafasan.

“Keadaan ayah sangat serius dan doktor memaklumkan kami sekeluarga perlu bersedia dengan segala kemungkinan kerana dia mengalami kerosakan otak yang teruk.

“Doktor juga memberitahu, keadaannya sangat kritikal dan jika ayah bertahan, dia sekadar bergantung pada mesin semata-mata,” katanya kepada BH Online.

Shafiqa berkata, keadaan bapanya semakin serius selepas mengadu sesak nafas, kira-kira jam 3.40 pagi semalam.

“Mungkin kerana terlebih minum air, ia mengganggu kesihatan ayah. Ketika dalam perjalanan ke HKL, jantung ayah terhenti seketika. Saat itu, hati saya tak tenang dan risau.

“Sejurus sampai ke hospital, ayah diberikan bantuan pernafasan (CPR). Mereka mengesan oksigen dan darah ayah tidak mengalir dengan betul.

“Saya mohon kepada semua pihak doakan yang terbaik buat ayah saya,” ujarnya.

Sebelum ini, Yazit pernah dimasukkan ke wad sama akibat masalah buah pinggang.

Berita Harian