Culik Lahad Datu: Keluarga Belum Terima Panggilan Telefon

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali ketika sidang media pada Program Sesi Pertemuan dan Dialog ESSCOM Bersama Komuniti Nelayan Daerah Sandakan di Kampung Dandulit, Sandakan, semalam.

SANDAKAN: Keluarga mangsa penculikan terbaharu di perairan timur Sabah berharap ketiga-tiga nelayan dalam insiden terbabit dibebaskan kumpulan penculik dengan selamat.

Ketiga-tiga nelayan warga Indonesia, Maharudin Lunani, 48, dan anaknya, Muhammad Farhan, 27, serta anak buahnya, Samiun Maneu, 27, disyaki diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan, Lahad Datu, Isnin lalu.

Adik Samiun, Masiudin, berkata ketiga-tiga mereka baru berlayar dari Sandakan ke kawasan itu untuk menangkap udang sebelum diculik pada hari yang sama.

Setakat ini, katanya, mereka belum menerima sebarang panggilan daripada pihak penculik untuk meminta wang tebusan.

“Tiada panggilan daripada sana (kumpulan penculik). Kami harap mereka dibebaskan dengan selamat.

“Samiun ada seorang anak lelaki baru berumur enam tahun dan sekarang berada di bawah jagaan saya. Sampai sekarang dia belum tahu bapanya diculik,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Masiudin yang bekerja sebagai nelayan di bawah syarikat kapal nelayan yang sama mendakwa kejadian penculikan menjadi ketakutan mereka selama ini, namun tiada pilihan selain bekerja sebagai nelayan di negeri ini.

Katanya, kebimbangan mereka semakin meningkat dengan kejadian nelayan, Jari Abdullah yang mati ditembak kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina pada April lalu.

“Arwah Jari adalah sepupu kami dan kami bekerja di bawah satu syarikat. Apabila kejadian itu berlaku, kami semua rasa semakin takut, namun tiada pilihan untuk bekerja di tempat lain,” katanya.

Semalam, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali mengesahkan pasukan keselamatan sudah mengenal pasti kumpulan culik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR) yang menculik ketiga-tiga mangsa dan membawa lari ke perairan Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *