Polis Cari ‘Derek’ Suspek Utama Pergaduhan Di Pusat Beli Belah

Omar menunjukkan gambar Derek yang dipercayai suspek utama pergaduhan di pusat beli belah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis giat mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Derek’ dipercayai suspek utama berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah pusat beli belah, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, lelaki berusia 40 tahun terbabit dikatakan punca utama pergaduhan itu berlaku selepas menyerang mangsa dan dua rakannya menggunakan besi dan buku lima.

Suspek utama insiden pergaduhan di pusat beli belah yang dikenali sebagai Derek dikehendaki polis bantu siasatan. Gambar SNT/Jumaidi Ladjana

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata siasatan awal menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa bersama dua rakannya sedang minum di tempat kejadian.

“Mangsa tiba-tiba didatangi suspek yang terus bertindak menyerang dan memukul mangsa serta dua rakannya.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami cedera di muka, kepala dan badan. Kejadian juga mencetuskan pergaduhan lebih besar selepas pembabitan rakan-rakan dari kedua-dua kumpulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah di Kepayan, hari ini.

Omar menunjukkan lelaki yang diburu polis susulan pergaduhan di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu semalam. FOTO Fardy Bungga

Omar berkata siasatan mendapati mangsa mengenali suspek namun tidak mengetahui punca sebenar dia diserang oleh suspek.

“Polis sudah mengenal pasti suspek utama dan beberapa lagi suspek lain yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan itu.

“Kita minta mereka yang terbabit supaya tampil menyerah diri bagi memudahkan siasatan dijalankan,” katanya.

Tambah beliau lagi, anggaran kerugian pemilik kedai di tempat kejadian masih dalam siasatan.

“Hasil pemeriksaan awal didapati beberapa harta benda di dalam kedai berkenaan rosak namun nilai kerugian belum dapat dipastikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *