Kes Penculikan: Polis Sabah Diarah Lakukan Penelitian Rapi Penggunaan Bot Pam

Omar Mammah

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan melakukan penelitian rapi berhubung isu pengunaan bot pam di perairan negeri ini ekoran kejadian penculikan oleh kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) di perairan Gem Reef Pulau Tambisan, Lahad Datu, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pihaknya telah dihubungi sendiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai perkara itu.

Katanya beliau diarahkan untuk mengkaji semula kaedah penggunaan bot pam dan mengadakan perbincangan dengan pihak atau agensi keselamatan yang lain.

“Beliau (Ketua Menteri) akan meneliti penggunaan bot pam dan kita akan tunggu dan akan berbincang dengan agensi keselamatan yang lain untuk mendapatkan pandangan dan ulasan.

“Selain itu juga, kita akan berbincang dengan masyarakat di akar umbi untuk mendapatkan ulasan dan pandangan mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Omar berkata kejadian penculikan membabitkan tiga lelaki warga Indonesia dilakukan oleh kumpulan KFR yang memakai topeng warna hitam pakaian celoreng dan lengkap bersenjata menggunakan dua bot pam masing-masing dilengkapi tiga enjin.

“Kumpulan terbabit kemudian menahan sebuah bot nelayan yang sedang menangkap udang di perairan berkenaan lalu mengacukan senjata api jenis MK47, dua laras M16 dan sepucuk pistol ke arah empat kru bot.

“Suspek kemudian merampas telefon bimbit, dokumen penting dan wang tunai milik kru bot lalu beredar dan menahan sebuah lagi bot dinaiki tiga kru pada jarak 300 meter dari bot pertama.

“Kumpulan terbabit dilihat menculik tiga kru bot sebelum beredar menggunakan bot pam menuju ke perairan Filipina,” katanya.

Tiga mangsa yang diculik adalah warga Indonesia dikenali sebagai Samiun Maniu, 27, Muhammas Farhan, 27, dan Maharudin Lunani, 48.

Katanya lagi, pihaknya belum menerima sebarang maklumat terbaru mengenai tiga mangsa yang diculik oleh kumpulan KFR berkenaan.

“Setakat ini, belum ada perkembangan terbaru yang kita terima dari pasukan keselamatan Filipina. Kita tunggu perkembangan daripada mereka dan belum ada sebarang panggilan untuk meminta wang oleh kumpulan penculik berkenaan.

“Sekiranya ada diantara suspek menghubungi sama ada majikan atau keluarga mangsa yang terbabit, dari sana kita dapat pantau,” ujarnya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *