MRA, Yayasan Hasanah Kerjasama Bantu Mangsa Kebakaran Di Tawau

Sukarelawan menghulurkan sumbangan kepada mangsa2 kebakaran.

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama Yayasan Hasanah membantu 511 orang daripada 120 keluarga mangsa kebakaran di Tawau, Sabah.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Bin Sulaiman, berkata kebakaran pada bulan lalu itu memusnahkan kira-kira 80 rumah di kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat di Tawau, Sabah.

Sumbangan peralatan ke sekolah kepada keluarga mangsa kebakaran diharapkan dapat meringankan bebanan mereka.

“Sehubungan itu, MRA dan Yayasan Hasanah turun padang bagi menggerakkan bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran yang terbabit.

“Hasil tinjauan awal di lapangan, pihak MRA mengambil inisiatif menyediakan bantuan seperti seperti makanan, pek kebersihan, selimut, lampin pakai buang dan tuala wanita.

“Kami juga mengadakan program khas ‘Kembali Ke Sekolah’ dengan menyumbang pakaian sekolah lengkap dengan sepasang kasut dan peralatan sekolah seperti beg sekolah dan alat tulis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Daud turut menegaskan program berkenaan amat penting kerana kebanyakan pelajar yang menjadi mangsa kebakaran tidak mempunyai pakaian seragam untuk ke sekolah.

“MRA bersimpati terhadap mereka yang ditimpa musibah dan berharap program pendidikan kebakaran dapat diadakan secara meluas, memandangkan kebakaran di Sabah agak kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Berita Harian