Warga Kanada Maut Motosikal Rempuh Kereta Di Jalan Ranau-Telupid

Gambar Hiasan

BELURAN, 20 Sept — Seorang penunggang motosikal lelaki warga Kanada maut selepas motornya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 24, Jalan Kota Ranau-Telupid, berdekatan Kampung Mangkadait di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 petang itu Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Kasim Muda berkata mangsa dikenali sebagai Ryan Saunders, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki motosikal Honda Hornet 250F dalam perjalanan dari arah Ranau menghala ke Telupid.

“Sebaik tiba di lokasi kawasan selekoh, Ryan yang menunggang dengan laju dan mahu memotong kenderaan di hadapannya, bagaimana pun, mangsa merempuh kenderaan jenis Nissan Navara dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kasim, pihaknya kini cuba mengesan waris mangsa melalui kedutaan bagi menghadiri proses bedah siasat dan menuntut mayat.

“Setakat ini, siasatan mendapati motosikal dipandu dengan laju dan telah bertembung dengan Nissan Navara dari arah bertentangan,” katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Kassim berkata pemandu Nissan Navara seorang lelaki warga Perancis hanya mengalami cedera ringan manakala seorang lagi penumpang tidak mengalami kecederaan.

BERNAMA