Negeri Atas Awan Bukan Cerita Dongeng

Kecantikan hamparan awan dilihat di atas Gunung Luhur menjadi tarikan pelancong.- Foto Media Sosial

JAKARTA: Negeri atas awan nampaknya memang wujud apabila Gunung Luhur di Banten diberi jolokan itu oleh pengunjung malah kini menjadi destinasi pelancongan popular selepas tular di media sosial.

Setiap hujung minggu, Gunung Luhur dibanjiri ribuan pengunjung diumpamakan lautan manusia yang ingin menyaksikan keindahan hamparan awan di atas gunung setinggi 901 meter dari atas paras laut itu.

Jumlah pengunjung mencecah lebih 10,000 orang setiap bulan. – Agensi

Bagaimanapun, pengunjung yang ramai tidak mengganggu pemandangan indah berkenaan kerana banyak lokasi untuk melihat kecantikan hamparan awan itu.

Fenomena itu berlaku selepas ada pengunjung berkongsi gambar hamparan awan di media sosial.

Penjaga Gunung Luhur, Sukmadi berkata, lokasi hamparan awan itu ditemui pekerja yang memperbaiki jalan menghubungkan utara dan selatan Lebak pada September tahun lalu.

Kecantikan hamparan awan dilihat di atas Gunung Luhur menjadi tarikan pelancong.- Foto Media Sosial

“Penduduk setempat yang melawat lokasi itu kemudian berkongsi gambar hamparan awan di media sosial,” katanya kepada Kompas.com.

Menurutnya, sejak Jun lalu, jumlah pengunjung mencecah lebih 10,000 orang setiap bulan dan hamparan awan hanya muncul pada waktu pagi.

Kata Sukmadi, ada kalanya Gunung Luhur kelihatan seperti lautan manusia kerana dibanjiri terlalu ramai pengunjung.

“Tempat khas ada disediakan di puncak, namun di sepanjang jalan ke atas juga ada lokasi untuk menikmati pemandangan,” katanya.

Dalam pada itu, Sukmadi berkata, pihak berkuasa akan mendirikan masjid di atas Gunung Luhur untuk kemudahan pengunjung.

“Jangan ke sana untuk membuat maksiat. Suasana pasti bertambah indah dengan laungan azan di puncak Gunung Luhur,” katanya.-Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *