KOTA KINABALU, 19 Sept: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta agar pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf kemudahan Lapangan Terbang Tawau dan Lahad Datu dipercapatkan memandangkan kedua-dua lapangan terbang itu sudah tidak dapat menampung jumlah penumpang yang semakin bertambah.
Beliau berkata kapisiti penumpang yang menggunakan lapangan terbang berkenaan kini telah melebihi had dan ini mendatangkan ketidak keselesaan kepada penumpang, khususnya pelancong luar yang mengunjungi tempat berkenaan.
“Saya telah bertemu dengan Malaysia Airport Berhad (MAHB) dan pihak berkenaan mengenai perkara ini..kerana kita tahu prasarana adalah menjadi perkara yang cukup penting, khususnya dalam sektor pelancongan.
“Kalau kita melabur dalam mempertingkat kemudahan seperti di lapangan terbang kita boleh boleh mendapat pulangan dalam jangka masa yang cepat. Kerana kita tahu setiap pelancong yang datang ke negara kita dapat memberi pulangan kepada negara kita…dan sekiranya kita mempunyai kemudahan yang baik maka ia dapat mempertingkatkan lagi jumlah pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Domestik- Cuti-Cuti Malaysia Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Mohamaddin Ketapi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata kini banyak negara di rantau ini sangat kompetitif dan mempunyai kemudahan yang cukup baik seperti Hong Kong, Filipina, dan Singapura dan kita perlu bersaing dengan mereka dengan menyediakan prasarana yang baik.
“Selain itu kita tahu ibu negara Indonesia bakal dipindahkan ke Kalimantan Utara dan dalam jangka lima tahun lagi sudah tentu kawasan berkenaan banyak pembangunan. Oleh itu kita perlu bersedia menerima lebih banyak pelancong dengan mempertingkatkan kemudahan.
“Kemudahan lapangan terbang ini cukup penting bukan sahaja dalam sektor pelancongan kerana pelabur yang mahu melabur di negeri ini juga melihat kemudahan lapangan terbang selain kemudahan elektrik, air dan jalan raya,” tambahnya.
Sementara itu, mengulas mengenai Kempen Domestik- Cuti-Cuti Malaysia, Mohd Shafie berkata inisiatif berkenaan adalah cukup baik untuk memastikan sektor pelancongan di negara ini, khususnya di Sabah meningkat.
“Saya juga sangat mengalu-alukan kerjasama kementerian pelancongan dan syarikat penerbangan MASwings dalam usaha kempen ini dengan mempamerkan logo pada pesawat syarikat berkenaan,” katanya.
BERNAMA