APMM Tahan Bot Nelayan Tempatan Tiada Kebenaran Menangkap Ikan

Foto Ihsan Maritim Malaysia

KOTA KINABALU, 19 Sept: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang tidak mempunyai kebenaran menangkap ikan di perairan berhampiran Pulau Mantanani Kecil dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais APMM Negeri Sabah Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata bot tersebut ditahan pada jam 2.37 petang bersama tekong warganegara Indonesia serta empat awak-awak warga Indonesia dan seorang dari suku Palauh yang kesemua mereka berusia antara 37 hingga 48 tahun.

Beliau berkata hasil laut dalam  bot tersebut terdiri daripada  pelbagai jenis ikan seberat 1,500 kilogram dan 360 kilogram ikan baja turut dirampas.

Menurutnya bot, tekong dan kru bot akan dikenakan tindakan dibawah Akta Perikanan 1985, Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 dan Akta Imigresen1959/63. 

Muhammad Suffian Eldine berkata  pihak Maritim Negeri Sabah sedang giat melaksanakan Operasi Naga Timur sejak Ogos lepas turut merangkumi risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti mengebom ikan serta pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara untuk dijual dipasaran gelap. 

Muhammad Suffian berkata pihak Maritim tidak akan berkompromi dengan mana pihak atau individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara. 

BERNAMA