Tiada Dokumen Pengenalan Diri, 5 Ditahan Di Pulau Mabul

SEMPORNA: Cubaan memboloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa tidak berjaya apabila lima lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan dalam Ops Bersepadu di perkampungan Pulau Mabul, Semporna, di sini pada Selasa.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kelima-lima lelaki yang berusia antara 22 hingga 53 tahun itu ditahan pada 11.30 malam dalam Ops Bersepadu yang dijalankan PPM bersama Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Semporna.

“Ketika menjalankan operasi, lima suspek mencurigakan ditahan dan diperiksa. Namun, kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah ketika operasi itu dijalankan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak melarikan diri tetapi cubaan itu digagalkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Mohamad Pajeri berkata, kesemua suspek dibawa menggunakan bot peronda ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutkan. Kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.