Anwar Jangka Jadi PM Tahun Depan

Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara sekitar tahun depan.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara sekitar tahun depan.

Presiden PKR itu berkata, biarpun tiada tarikh yang tepat, peralihan kuasa yang akan menyaksikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke lapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad itu dijangka berlaku tahun 2020.

“Ada persefahaman bahawa ia sepatutnya berlaku dalam tempoh itu, tetapi saya tidak begitu pasti mengenai bulan yang tepat.

“Bagaimanapun, ada persetujuan bahawa beliau (Dr Mahathir) akan meletak jawatan dan itulah yang saya fahamkan,” katanya dalam satu temubual dengan wartawan Bloomberg Television, Haslima Amin, hari ini.

Anwar ditanya mengenai sama ada peralihan kuasa akan berlaku selepas dua tahun Dr Mahathir memegang jawatan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson bagaimanapun menolak dakwaan kononnya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Menteri Besar Kedah, Muhkriz Mahathir akan menjadi pesaingnya untuk memegang jawatan yang dijanjikan.

Persoalan mengenai bila Anwar akan mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri bermula selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tahun lalu.

Dalam temubual itu, Anwar turut ditanya mengenai kesan pembakaran hutan di Indonesia yang mengakibatkan keadaan jerebu sehingga memaksa penutupan banyak sekolah di Malaysia.

“Seharusnya kita marah kerana ini membabitkan ekologi. Ia bukan perkara kecil, ia menjejaskan jutaan penduduk,” katanya yang mahukan Kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia mengambil tindakan tegas terhadap isu alam sekitar berkenaan.

Beliau juga meminta syarikat yang bertanggungjawab dalam kebakaran mengakibatkan berlaku cuaca jerebu untuk menanggung sebahagian daripada kos kerugian.

Sementara itu, Anwar turut menggesa supaya kontrak Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang pernah dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dikaji semula.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *