Sabah Seri Di Likas

Gambar Sabah Football Association

KOTA KINABALU: Perak mengiringi Pahang ke suku akhir saingan Piala Malaysia walaupun sekadar seri 1-1 berdepan Sabah di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi. 

Skuad The Bos Gaurus mengakhiri peringkat kumpulan di tangga kedua selepas mengumpul sembilan mata daripada enam perlawanan sekali gus mengatasi Pulau Pinang di tempat ketiga tanpa mengira keputusan pasukan itu. 

Gambar Sabah Football Association

Pada perlawanan itu, Perak menguasai hampir keseluruhan permainan di separuh masa pertama dan memperolehi gol pertama pada minit ke-25.

Gol itu berpunca hasil hantaran cantik Nazirul Naim Che Hashim ke dalam kotak penalti yang kemudiannya disudahkan dengan baik oleh Ronaldo Henrique Silva bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic hampir menambah jaringan pada minit ke-34 menerusi cubaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi di dalam kotak penalti namun ianya sedikit tinggi. 

Gambar Sabah Football Association

Tiga minit kemudian, penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim pula menjadi penghalang kepada Perak apabila menyelamatkan rembatan J Partiban dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga waktu rehat. 

Bermula babak kedua, tuan rumah memulakan permainan dengan lebih garang dan menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-48 menerusi tandukan Maxsius Musa yang menerima hantaran sepakan percuma Mohd Azzizan Nordin. 

Gambar Sabah Football Association

Skuad Tambadau kemudian hampir berada di depan pada minit ke-71, namun tandukannya tepat ke arah penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim. 

Dua minit kemudian, giliran Perak mencemaskan pintu gol Sabah hasil tandukan Shahrel, bagaimanapun Rozaimie bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan. 

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah meniupkan wisel penamat. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *