Lelaki Hilang Semasa Mandi Sungai Ditemukan Lemas

Mayat mangsa yang ditemukan petang kelmarin diangkat oleh anggota APM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Gambar kecil adalah mangsa.

KOTA MARUDU: Salah seorang daripada tiga beradik yang dilaporkan hilang semasa mandi sungai ditemukan dalam keadaan terapung di Sungai Bengkoka Pitas, di sini, petang kelmarin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kolonel Kamal Mokhtar berkata, maklumat awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dan dua lagi adik beradiknya mandi di sungai itu selepas pulang dari menoreh getah.

“Menurut abang mangsa, ketika sedang mandi, mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan dan apabila menoleh ke belakang, hanya jari mangsa timbul serta melambai-lambai seperti meminta tolong sebelum terus tenggelam.

“Semasa mandi, mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 1 petang Isnin sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Kita menggerakkan sepasukan anggota bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya berjaya ditemukan oleh pasukan SAR dalam keadaan terapung tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 4.15 petang kelmarin.

“Mayat mangsa, Kasbil Saak, 20, kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *