
TAMPARULI, 18 Sept: Walaupun berdepan cabaran arus kemodenan, dua remaja bersepupu dari Kampung Puhus, di s ini, memilih melestarikan alat muzik tradisional warisan etnik Dusun supaya tidak hilang ditelan zaman.
Pengorbanan itu dilakukan Jyrolynn Jitour dan Eva Elkana Duanis, yang menyedari tidak ramai rakan sebaya mereka sanggup berbuat demikian, sebaliknya ada beranggapan alat muzik tradisional seperti sompoton, seruling, marimba, tagunggak dan skopion sudah ketinggalan zaman.
Bagaimanapun, alasan itu bukan halangan kepada dua remaja terbabit meneruskan hasrat mereka membantu melestari dan memelihara warisan itu dengan terus mendalami teknik bermain alat muzik tradisional untuk dikembangkan kepada generasi muda.
Lulusan ijazah seni halus dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Jyrolynn, 23, mengakui sayangkan seni warisan etnik Dusun seperti alat muzik tradisional yang semakin dilupakan generasi baharu.
“Justeru, saya tidak marah jika usaha yang kami lakukan dalam melestarikan seni warisan etnik Dusun itu dianggap segelintir pihak sebagai membuang masa dan tidak mendatangkan manfaat.
“Ketika zaman kanak-kanak saya didedahkan dengan muzik tradisional, memandangkan ibu bapa saya mahir bermain beberapa alat muzik tradisional seperti sompoton dan seruling.
“Datuk saya bernama Limunduk yang meninggal dunia pada usia 80 tahun pula bukan hanya pandai bermain sompoton, malah merupakan pakar membuat sompoton yang disegani di Kampung Puhus,” katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau berkata walaupun tidak mewarisi kemahiran sama dimiliki datuk dan ibu bapanya, namun remaja itu menyimpan hasrat meneruskan legasi bermain sompoton dan seruling sebagai usaha memelihara seni warisan itu.
Eva Elkana, 22, pula sudah 11 tahun mendalami kaedah bermain alat muzik tradisional seperti seruling, tagunggak, kulintangan dan arimba menerusi bengkel berkaitan bimbingan Presiden Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA), Kuhim Ebin Ugat.
“Saya tertarik hati mendalami kaedah bermain alat muzik tradisional etnik Dusun, apabila mendapati tidak ramai rakan sebaya berminat menceburi bidang itu masa kini,” katanya remaja lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Advent Tamparuli itu.
Beliau berkata adalah menjadi kerugian membiarkan seni warisan itu hilang ditelan zaman, tanpa usaha dialkukan ketika masih ada pihak yang boleh memberi tunjuk ajar kepada generasi muda mempelajarinya.
Sehubungan itu, Eva Elkana berharap lebih ramai rakan sebaya tampil membantu usaha mempertahan dan melestarikan seni warisan tradisional tanpa perlu rasa malu supaya khazanah itu tidak pupus.
BERNAMA