Polis Marin Sandakan Gagalkan Cubaan Seludup Telur Penyu, Minyak Petrol

4,000 telur penyu dianggarkan bernilai RM7,200 cuba diseludup ke Sandakan untuk dipasarkan. Turut dirampas tujuh tong berisi 175 liter petrol. Gambar Ihsan PPM

SANDAKAN, 18 Sept: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menyeludup 4,000 telur penyu di kawasan sungai Batu 7 di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dalam kejadian pukul 6.20 petang itu, telur penyu dianggarkan bernilai RM7,200 itu ditemui di dalam sebuah bot laju di kawasan sungai berkenaan.

Pasukan Polis Marin menemui lapan bungkusan hitam berisi 4,000 telur penyu di dalam bot terbabit. Gambar Ihsan PPM

“Hasil rondaan di kawasan berkenaan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk telur penyu untuk dipasarkan kepada orang awam apabila sebuah bot berwarna hijau dan biru dengan kekuatan dua enjin 40 kuasa kuda dengan nombor pendaftaran Malaysia memecut laju lalu terkandas di kawasan cetek kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

4,000 telur penyu dianggarkan bernilai RM7,200 cuba diseludup ke Sandakan untuk dipasarkan. Turut dirampas tujuh tong berisi 175 liter petrol. Gambar Ihsan PPM

Bagaimanapun, Mohamad Pajeri berkata juragan bot, yang juga disyaki pemilik telur penyu itu, berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata PPM Sandakan turut menahan sebuah lagi bot laju di kawasan sama dengan tujuh jerikin berisi 175 liter minyak petrol dipercayai untuk diseleweng keluar dari Sandakan menggunakan bot fiber berwarna putih dengan kekuatan enjin 15 kuasa kuda, namun suspek pula berjaya melarikan diri.

Dalam operasi itu, PPM merampas dua bot laju bersama enjin, telur penyu dan minyak petrol dengan nilai rampasan berjumlah RM42,564.

Mohamad Pajeri berkata kesemua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan bagi proses dokumentasi dan telur penyu itu juga akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan untuk tindakan lanjut.

Beliau juga berkata kes penyelewengan petrol itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

BERNAMA