Dua Bot Pam Dari Filipina Ditahan, Disyaki Cuba Seludup 2, 500 Liter Petrol

Pajeri (kiri) menunjukkan rampasan tong berisi petrol dan akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut. – Foto Ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua bot pam asal Filipina yang membawa muatan lebih 2,500 liter minyak petrol, disyaki hendak diseludup ke negara jiran terbabit.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, bot-bot itu ditemukan di kawasan perkampungan atas air Batu 4 Jalan Apas, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Bot yang digunakan suspek untuk membawa muatan tong berisi petrol. – Foto Ihsan PPM

“Kita menganggarkan keseluruhan rampasan di dalam kes ini berjumlah hampir RM30,000 melibatkan 85 jerikin berisi petrol, dua bot dan enam enjin bot pam,” katanya.

Katanya, penemuan kedua-dua bot mencurigakan itu adalah hasil tugasan Operasi Gelora Khas oleh lima anggota PPM Tawau yang menggunakan bot samaran.

Pajeri berkata, anggota PPM bertugas terlibat menemukan 53 jerikin berisi petrol di bot pertama dan 32 jerikin lagi yang turut berisi petrol di atas bot kedua.

Dua bot yang digunakan suspek untuk membawa muatan tong berisi petrol. – Foto Ihsan PPM

“Bagaimanapun, tidak ada orang ditemukan di kedua-dua bot terbabit dan kita percaya suspek meninggalkan bot mereka selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya.

Hasil pemeriksaan PPM yang dijalankan ke atas bot berkenaan telah menemukan sebanyak 84 jerikin bersamaan 2,610 liter minyak petrol disyaki dibawa ke selatan Filipina.

Ditanya berhubung kemungkinan, ada orang tempatan yang menjadi dalang dan tali-barut kes terbabit, beliau tidak menolak andaian berkenaan untuk diambil kira dalam siasatan.

“Mereka yang bersubahat dalam penyeludupan boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kemungkinan dibuang daerah.

“Dalam kes ini, penahanan semua barang rampasan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup barang kawalan bersubidi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *