Budak 11 Tahun Kahwin Sepupu

Kanak-kanak berusia 11 tahun dipaksa berkahwin dengan sepupunya. – Foto Agensi

TEHERAN: Pihak berkuasa Iran membatalkan perkahwinan seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang dikatakan dipaksa berkahwin dengan sepupu berusia 22 tahun selepas rakaman video perkahwinan itu tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai.

Perkahwinan itu berlangsung di daerah Bahmaei pedalaman Iran, pada 26 Ogos lalu dan video berkenaan dimuat naik di media sosial mulai 1 September, malah turut disiarkan stesen televisyen tempatan.

Berdasarkan video itu, kedengaran suara imam memberitahu pengantin lelaki membayar mas kahwin sebanyak 14 syiling emas dan 50 juta tomans bersamaan dengan £7,200 pound (RM37,346).

Imam kemudian bertanya kepada kanak-kanak dikenali sebagai Fatima itu sama ada dia bersetuju atau tidak berkahwin dengan sepupunya, Milad Jashani.

“Ya, dengan persetujuan ibu bapa saya,” jawab Fatima.

Keluarga kedua-dua pengantin kemudian bersorak kegembiraan selepas lelaki turut menyatakan bersetuju berkahwin dengan kanak-kanak itu.

Menurut laporan France24 yang memetik kenyataan Pendakwa Raya Hassan Negin Taji, perkahwinan pasangan itu dibatalkan kerana undang-undang tidak membenarkan kanak-kanak berkahwin.

Sekiranya didapati bersalah, lelaki terbabit boleh berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga dua tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *