Sumbat Pistol Dalam Mulut Bayi

Gambar kiri, suspek memegang bayi dan melepaskan tembakan ke udara, manakala kanan, lelaki itu memasukkan muncung pistol ke dalam mulut bayi berkenaan. Foto Agensi

RIYADH: Seorang lelaki ditahan polis selepas satu rakaman video menunjukkan dia melepaskan tembakan di udara sebelum memasukkan muncung pistol ke dalam mulut bayi.

Satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan lelaki itu memegang bayi yang dipercayai baru dilahirkan dan sebelah lagi tangannya memegang sepucuk pistol.

Lelaki itu kemudiannya melepaskan tiga das tembakan ke udara sebagai meraikan kelahiran bayi berkenaan.

Seorang lagi lelaki kemudiannya meminta penembak itu membiarkan bayi berkenaan menghidu belerang peluru.

Mendengar arahan itu, lelaki terbabit terus memasukkan muncung pistol ke dalam mulut bayi berkenaan.

Gulf News melaporkan, video itu dirakamkan di sebuah rumah di Riyadh dan lelaki yang memegang pistol berkenaan dikenal pasti sebagai abang bayi itu.

Jurucakap polis Riyadh, Chaker Sulaiman memberitahu portal berita Sabq, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditangkap dan senjata berkenaan turut dirampas.- Agensi