85 Belia Tawan Bukit Tukok, Kibar Jalur Gemilang Gergasi

85 BELIA MEROTAI TAWAN BUKIT TUKOK MISI KIBARKAN JALUR GEMILANG GERGASI SEMPENA SAMBUTAN ‘HARI MALAYSIA’ 2019

TAWAU; 17 SEPTEMBER 2019 (Selasa) – Seramai 85 orang Belia Merotai berjaya menawan Bukit Tukok, Kalabakan dalam misi Mengibarkan Jalur Gemilang gergasi dipuncak bukit menerusi program ‘Expidisi Alam’ Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih sempena sambutan Hari Malaysia, 16 September, kelmarin.

Bendera gergasi bersaiz 12 x 24 kaki itu berjaya dibentang di Bukit Tukok dengan penuh megahnya sambil tangan mengenggam kuat bendera oleh sekumpulan belia yang penuh berwawasan dan bersemangat di puncak bukit berketinggian 485 meter itu.

Bukit tersebut yang merupakan bukit tertinggi di kawasan Kalabakan berjaya ditawan pukul 10.45 pagi selepas Expidisi Alam dijayakan dengan mengambil masa kira-kira kurang 2 jam untuk sampai ke puncak.

Pengerusi Belia Merotai Besar, Asnorkiah Yuana Aspol menzahirkan harapannya agar penganjuran program Kenegaraan seumpama ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang supaya Semangat Cintakan Negara mampu diterapkan ke sanubari para belia dimasa kini, baik belia-belia di bandar mahupun belia-belia di luar bandar.

Katanya, Penyertaan yang sangat menggalakkan itu merupakan satu usaha yang sangat berjaya, juga sedikit sebanyak mampu membangkitkan semangat pentingnya mengenang orang-orang terdahulu yang berjuang mempertahankan tanah air tercinta ini dari cengkaman penjajah dan musuh.

Terdahulu, bendera gergasi Jalur Gemilang tersebut telah disiapkan dalam tempoh masa seminggu oleh AJK Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Simpang Tiga dan Kampung Kijang Merotai, serta turut dibantu oleh belia-belia dari Merotai besar.

Sebelum bendera gergasi tersebut dibawa ke puncak bukit Tukok, terdahulu telahpun dikibarkan di Dewan Terbuka Merotai pada awal pagi oleh para belia dengan nyanyian lagu Negaraku dengan penuh bersemangat.

Sebaik Bukit Tukok berjaya ditawan dengan kibaran Jalur Gemilang gergasi, seterusnya Jalur Gemilang tersebut dibawa turun semula dan dinaikkan kembali di tiang sambil disaksikan oleh ADUN Tanjung Batu, YB Datuk Hamisa Samat selepas beliau selesai merasmikan Program Jasamu Dikenang sempena Hari Malaysia di Merotai.

Expidisi berkenaan dianjurkan pihak Kelab Belia Merotai Besar dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah (Bahagian Tawau), Persatuan Gabungan Belia Bahagian Tawau dan Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Kalabakan.

#BESTAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *