Shafie Ingin Bertemu Lim Guan Eng Bincang Masalah Kewangan Negara

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhasrat bertemu dengan Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng bagi membincangkan lebih lanjut mengenai masalah kewangan yang dihadapi negara pada saat ini.

Beliau berkata, Sabah juga tidak terkecuali menghadapi masalah kewangan sendiri yang mana negara kini pada keseluruhannya sedang menghadapi masalah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa apa yang penting adalah untuk mencari jalan penyelesaian supaya negara dan negeri dapat menangani masalah itu dengan sebaiknya.

“Kita sedar bahawa negara mempunyai masalah menyalurkan pembiayaan. Sabah juga menghadapi masalah yang sama dan apa yang penting di sini adalah bagaimana kita boleh mengurangkan hutang itu.

“Jadi, saya perlu berunding dengan beliau (Lim) kerana kita mempunyai beberapa sesi mesyuarat dengan mereka (Kerajaan Persekutuan)… kita akan lihat bagaimana penyelesaian nanti kerana saya belum dimaklumkan mengenai perkara itu (kenyataan Lim),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Perpaduan Dalam Kepelbagaian, di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini, bahawa Kerajaan Persekutuan tidak dapat memenuhi janji untuk memberi royalti 20 peratus kepada Sabah dan Sarawak kerana negara masih dibebani dengan hutang besar yang tersisa daripada pentadbiran terdahulu.

Jelas Shafie, isu sedemikian perlu diperincikan semula dan seharusnya tidak ada pengecualian kerana ia membabitkan pembangunan di negeri ini yang hanya memerlukan sedikit wang supaya tidak ketinggalan dari negeri lain yang sedang membangun.

Beliau juga berharap akan mendengar berita baik daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pembangunan kedua-dua negeri ini ketika lawatannya ke Kuching sempena sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan hari ini.

Mengenai program yang julung kali diadakan itu, beliau berkata kerajaan amat mengalu-alukan penganjuran sedemikian oleh badan bukan kerajaan (NGO) dalam memupuk perpaduan antara kaum dan agama di negeri ini.

Katanya, memupuk semangat perpaduan dan kesatuan amat penting pada masa ini bagi menangani isu atau sentimen perkauman yang semakin membimbangkan dalam kalangan rakyat.

“Kita sedar dan tahu bahawa cabaran perlu dihadapi dalam suasana kepelbagaian kaum yang ada, kerana bukan mudah untuk terapkan kesatuan dan perpaduan apatah lagi dengan hambatan setiap jam di media sosial mengenai masalah kaum dan agama.

“Justeru, jiwa dan pemikiran harus kental supaya tidak didorong oleh pemikiran negatif yang memecah belah perpaduan antara kita… jadi kerjasama semua pihak dalam memupuk perpaduan perlu diteruskan,” katanya. 

Utusan Borneo